mutakhir

Pelancong maut dirempuh ketika melintas jalan

Oleh Juwan Riduan

Kota Kinabalu: Seorang pelancong maut dirempuh kereta ketika melintas jalan di depan sebuah pusat beli-belah di Jalan Tun Fuad Stephen di sini, malam tadi.

Dalam kejadian itu jam 7.40 malam itu, lelaki dari Eropah yang belum dikenal pasti identiti itu cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) sebelum disahkan meninggal dunia jam 8.44 malam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, siasatan awal mendapati mangsa dirempuh kereta Perodua Bezza dipandu seorang lelaki berusia 38 tahun yang dalam perjalanan dari Kompleks Imago menuju ke Kompleks Suria Sabah.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta berkenaan melanggar mangsa yang datang dari sebelah kiri secara mengejut menyebabkan pemandu gagal mengelak kerana terlalu dekat.

“Akibat rempuhan itu, mangsa terpelanting di atas cermin kereta menyebabkan dia parah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, mangsa kemudian dikejarkan ke HQE I menggunakan ambulans untuk rawatan lanjut.

“Selepas menerima rawatan lebih sejam, pegawai perubatan HQE I mengesahkan mangsa meninggal dunia,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: March 11, 2020 @ 6:19pm
d