mutakhir

Isu MA63 akan dibincangkan segera - PM [METROTV]

Oleh Rafidah Mat Ruzki dan Mohd Anwar Patho Rohman

PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengadakan mesyuarat dengan parti dari Sabah dan Sarawak bagi membincangkan isu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan pindaan Perkara 1 (2) Perlembagaan.

Beliau berkata, mesyuarat itu akan diadakan menerusi bersama Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Negeri Sabah dan Sarawak) yang diterajui Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili.

“Kami akan memanggil mesyuarat untuk membincangkan MA63 dan juga pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan untuk memenuhi hajat dan kehendak rakyat Sabah dan Sarawak seperti yang termaktub di MA63.

“Kami akan melakukan ini dengan segera,” kata Muhyiddin pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet pertamanya di Putrajaya, hari ini.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini cuba meminda Perkara 1 (2) Perlembagaan pada 9 April tahun lalu tetapi gagal mendapat majoriti dua pertiga untuk diluluskan di Dewan Rakyat selepas Ahli Parlimen dari Sarawak dan pembangkang memilih untuk tidak mengundi.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sebelum ini berkata, Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak mengundi kerana ia tidak termasuk frasa ‘mengikut Perjanjian Malaysia 1963’.

Pada Disember lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri sebelum ini, Datuk Liew Vui Keong berkata, pindaan itu akan dibentangkan semula pada Mac ini.

Pindaan itu memerlukan dua pertiga suara majoriti di Dewan Rakyat atau sekurang-kurangnya 148 daripada 222 Ahli Parlimen.

  • Lagi berita berkaitan Kabinet baharu
  • Barisan Kabinet baharu
  • Disiarkan pada: March 11, 2020 @ 6:28pm
    d