mutakhir

'Itu sajakah yang dia boleh buat?'

Oleh Samadi Ahmad

“ADAKAH itu saja yang dia (Datuk Seri Anwar Ibrahim) boleh buat?” Demikian kata Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang membidas kenyataan Presiden PKR yang mempersoalkan kes kehilangan helikopter dengan mengaitkan isu itu kepadanya.

Hishammuddin berkata, Kementerian Pertahanan akan menerima enam helikopter tempur ringan jenis MD-530G pada penghujung bulan ini.

Menurutnya, perkara itu dimaklumkan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi dan isu berkenaan sudah selesai.

“Perkara paling penting saya sudah dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memberi kenyataan berhubung perkara itu,” katanya selepas Majlis Menyampaikan Amanat Kepada Warga Kementerian Luar Negeri sempena hari pertama memasuki kementerian hari ini.

Turut hadir, Timbalannya Datuk Kamaruddin Jaafar dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Datuk Seri Muhamad Shahrul Ikram Yaacob.

Media sebelum ini melaporkan pembelian helikopter tentera bernilai RM300 juta yang dibuat ketika pentadbiran Kerajaan Barisan Nasional (BN) masih belum diterima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sehingga kini.

Enam helikopter tempur ringan jenis MD530G yang dikeluarkan syarikat aeroangkasa Amerika Syarikat, McDonnel Douglas itu dipesan ketika Hishamuddin menjadi Menteri Pertahanan.

Anwar dalam hantaran Facebooknya menyindir Kabinet Perikatan Nasional (PN) sebagai ‘bersih’ kerana terbabit dengan kes ‘kehilangan’ helikopter.

Presiden PKR itu turut mempersoalkan sama ada barisan jemaah menteri baharu benar-benar bersih seperti yang dikatakan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

  • Lagi berita berkaitan Kabinet baharu |
  • Barisan Kabinet baharu
  • Disiarkan pada: March 11, 2020 @ 7:14pm
    d