mutakhir

UMK tawar biasiswa Naib Canselor

Oleh BERNAMA

UNIVERSITI Malaysia Kelantan (UMK) menawarkan biasiswa kepada pelajar Kelantan yang dinobat pelajar terbaik Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) peringkat nasional 2019, untuk melanjutkan pengajian ke universiti berkenaan.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMK, Prof Dr Mohd Rafi Yaacob berkata, biasiswa Naib Canselor itu pertama kali ditawarkan kepada pelajar cemerlang bagi menyambung pengajian dalam bidang bersesuaian di UMK.

“Kami memberikan ruang dan peluang kepada mereka untuk menyambung pengajian yang bersesuaian dengan aliran mereka sebelum ini.

“Kami bertemu dengan mereka (pelajar) untuk memberikan penerangan serta maklumat yang jelas berkaitan dengan program yang ditawarkan.

“UKM juga mahu membantu golongan B40 untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi berikutan kami melihat golongan ini perlu diberikan bantuan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama ketika menghadiri program lawatan ke rumah pelajar cemerlang STPM 2019, Siti Aishah Mz Rozalan di Kampung Sungai Renyut, Kuala Balah, Jeli, hari ini.

Sebelum ini media melaporkan lima pelajar dari tiga sekolah di Kelantan diumum antara 10 pelajar terbaik STPM 2019.

Mereka ialah Siti Aishah dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Lanas, Jeli; Nur Izzati Mat Rodhi dari SMK Long Yunus, Bachok dan tiga pelajar dari SMK Tengku Panglima Raja, Pasir Mas, iaitu Mohd Hafiza Ismail, Fatin Nur’Izzati Md Azmi serta Siti Nazira Sakiam.

Mohd Rafi berkata, biasiswa itu sebahagian daripada platform bagi pihaknya untuk memberikan manfaat kepada masyarakat setempat selain motivasi kepada pelajar lain supaya cemerlang dalam akademik.

“Kami faham kerana ada lagi masyarakat yang dikatakan perlu diberikan bantuan sebegini kerana kami lihat kewangan boleh menjadi penghalang kepada mereka untuk menghantar anak-anak menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

“UMK akan menilai daripada aspek kecemerlangan akademik dan sahsiah pelajar itu kerana biasiswa ini yang julung kali dikeluarkan oleh pihak kami,” katanya.

Disiarkan pada: March 11, 2020 @ 8:51pm
d