mutakhir

2 maut, 2 cedera

Oleh Norzamira Che Noh

DUA maut manakala dua lagi cedera selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Pelabuhan Barat dari Westports ke Shah Alam, 8 malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Superintendan Azman Shariat berkata, kemalangan itu membabitkan tiga motosikal dan sebuah treler.

Katanya, dua mangsa yang meninggal dunia masing-masing adalah penunggang motosikal manakala mangsa ketiga dan keempat menaiki motosikal yang sama.

“Hasil siasatan mendapati mangsa pertama, Raphyanus Raphael Mantui, 23 yang menunggang Benelli 175 berada di lorong kanan dan sedang memotong treler.

“Ketika itu, mangsa kedua, V Gurumoorthy, 35 yang menunggang Honda Wave tiba-tiba terlanggar mangsa pertama dan kedua-duanya terjatuh.

“Seterusnya, mangsa ketiga iaitu Mohd Lokman Nurhakie Hasan, 25 yang menunggang Honda EX5 tidak dapat mengelak salah sebuah motosikal berkenaan kemudian terlanggar dan turut terjatuh bersama pembonceng iaitu Julina Liza Mohamed, 26,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, mangsa pertama dan kedua maut di tempat kejadian selepas digilis treler manakala mangsa ketiga cedera di bahu dan mangsa keempat cedera di kaki.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) dan mangsa cedera kini dirawat di hospital sama.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Disiarkan pada: March 12, 2020 @ 10:51am
d