mutakhir

2 maut motosikal bertembung

Oleh Safuri Kamarudin

DUA lelaki maut selepas motosikal ditunggangi mereka bertembung di Jalan Parit Panjang-Kuala Ketil, berdekatan Kampung Tembak B, Kuala Ketil, Baling, malam tadi.

Dalam kejadian 10.45 malam itu, mangsa, Rizwan Hafiz Ramli, 23, dikatakan dalam perjalanan dari arah Kuala Ketil menghala Parit Panjang, manakala Mohd Azwan Shafiq Ahmad Sanusi, 21, menunggang dari arah bertentangan.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Syed Basri Syed Ali, berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan 11.05 malam berhubung kemalangan itu.

Katanya, siasatan awal mendapati motosikal ditunggang Rizwan Hafiz dipercayai memasuki laluan bertentangan mengakibatkan berlaku pertembungan dengan motosikal dari arah hadapan.

“Akibatnya, kedua-dua mangsa parah pada badan dan kepala sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan paramedik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Syed Basri berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani untuk bedah siasat.

Katanya, Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: March 12, 2020 @ 2:03pm
d