mutakhir

Eddin dicabar Zamri di Kuala Pilah

Oleh Mohd Amin Jalil

PEMILIHAN ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bahagian Negeri Sembilan berjalan lancar.

Sehingga kini, sebanyak lima bahagian sudah selesai mengadakan pemilihan iaitu Jelebu, Port Dickson, Tampin, Seremban dan Rasah serta tiga lagi bahagian akan menyusul iaitu Kuala Pilah, Rembau serta Jempol.

Setiausaha Badan Pimpinan Bersatu Negeri Sembilan, Datuk Mohd Hanafi Mohd Zain berkata, pemilihan bahagian Kuala Pilah akan diadakan Ahad ini.

Katanya, pemilihan bahagian berkenaan akan membabitkan saingan dua penjuru antara penyandang yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Timbalan Pengerusi Perhubungan Bersatu Negeri Sembilan, Datuk Eddin Syazlee Shith dengan Zamri Md Liza.

“Selepas Kuala Pilah akan diikuti Rembau dan Jempol. Pemilihan di semua lapan bahagian di Negeri Sembilan akan diselesaikan menjelang akhir bulan ini.

“Kami amat berpuas hati dengan perjalanan pemilihan kerana tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

“Ahli Bersatu di setiap bahagian atau calon-calon yang bertanding memberikan kerjasama baik sepanjang proses pemilihan. Saya yakin pemilihan tiga lagi bahagian juga akan berjalan lancar dan selesai dengan baik,” katanya.

Sementara itu, Ketua Bersatu Bahagian Rasah yang baharu, Mohamad Hanifah Abu Baker, 40, berkata, beliau bersyukur atas kemenangannya dalam pemilihan.

Beliau yang menewaskan empat pencabar lain dalam pemilihan itu, sudah menggariskan beberapa perancangan termasuk menarik lebih ramai golongan muda menyertai parti.

Katanya, Bersatu Rasah akan berusaha memainkan peranan proaktif dalam usaha memperkukuhkan parti.

“Misi dan visi saya adalah mahu menarik lebih ramai golongan muda dan membantu mereka meningkatkan pencapaian ekonomi selain memastikan parti mempunyai integriti tinggi,” katanya yang juga seorang ahli perniagaan.

Disiarkan pada: March 12, 2020 @ 3:05pm
d