mutakhir

Pusat latihan mualaf pertama diwujudkan [METROTV]

Oleh Siti Rohana Idris

PUSAT latihan mualaf pertama di Kelantan yang turut dijadikan rumah perlindungan saudara baharu diwujudkan di Kampung Kok Keli di Tumpat.

Pusat latihan yang membabitkan kos pengubahsuaian mencecah RM370,000 itu disumbangkan oleh Bank Muamalat Malaysia Berhad (BMMB) dengan seliaan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dibina di atas tanah yang diwakafkan oleh pemiliknya, Datuk Dusuki Ahmad.

Yang Dipertua MAIK Tan Sri Tengku Muhammad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, pusat latihan mualaf itu adalah sebuah fasiliti untuk penginapan sementara kepada saudara baharu yang menginap secara transit dalam tempoh tiga hingga enam bulan sehingga dapat mengurus diri dari segi pengetahuan agama.

“Di pusat latihan ini ada menyediakan asrama termasuk bilik keluarga, dewan serbaguna, dewan makan serta kelas untuk mendalami Islam.

“Setakat ini, seramai tujuh penghuni sudah menginap di sini dan pusat latihan ini mampu memuatkan sehingga 30 penghuni.

“Tiada sebarang bayaran dikenakan dan kita juga tidak menghadkan kepada rakyat negeri ini sahaja tetapi juga luar Kelantan,” katanya kepada media selepas majlis perasmian hari ini.

Hadir sama Timbalan YDP MAIK Zulkifli Abdul Rahman, Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan Kelantan Mejar (B) Datuk Md Anizam Ab Rahman dan Ketua Dividen Syariah BMMB Mohd Izuwan Mahyudin.

Sementara itu, Mohd Izuwan berkata, BMMB tampil menjadi penghubung kepada masyarakat untuk menunaikan hak harta dengan berinfak atau berwakaf kepada mereka yang memerlukan.

Menurutnya lagi, usaha itu dilakukan menerusi kolaborasi bersama MAIK untuk kutipan dan pengurusan wakaf yang dikenali sebagai Wakaf MAIK Muamalat.

“Projek Pusat Latihan Mualaf ini adalah projek sulung Wakaf MAIK Muamalat dan kami mengucapkan syabas kepada MAIK yang bertungkus lumus memastikan projek ini dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan.

“Kami berharap fasiliti ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya dengan mengadakan aktiviti kebajikan dan bimbingan kepada saudara baharu,” katanya.

Disiarkan pada: March 12, 2020 @ 3:09pm
d