mutakhir

Rugi RM650,000 ditipu rakan senegara

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

SEORANG wanita warga China kerugian kira-kira RM650,000 selepas ditipu lelaki yang juga rakan senegara bagi urusan pembelian penutup mulut dan hidung.

Mangsa, Zhang Lin, 43 berkata, dia yang berasal dari Shenzhen, China tiba di Malaysia pada 6 Januari lalu untuk melancong.

“Namun selepas seminggu melancong negara saya ketika itu dilanda wabak Covid-19 menyebabkan saya dan rakan kongsi ingin membeli penutup hidung dan mulut kerana mendapat permintaan yang tinggi.

“Saya kemudin bertemu dengan seorang lelaki yang juga warga China dan sudah lama tinggal di Malaysia bagi urusan membeli produk berkenaan,”katanya pada sidang media di Biro Pengaduan Awam MCA di Wisma MCA, hari ini.

Menurutnya, lelaki berkenaan mendakwa boleh membekalkan produk berkenaan dengan jumlah yang banyak dan boleh hantar ke China.

“Percaya dengan kata-kata lelaki itu, saya kemudian melakukan beberapa transaksi menggunakan WeChat Pay dan ada juga menyerahkan secara tunai kepada lelaki berkenaan.

“Jumlah transaksi yang dipindahkan adalah RM594,567 dan RM20,000 diberikan secara tunai pada 9,10 dan 11 Februari lalu,”katanya.

Katanya, penutup mulut dan hidung itu sepatutnya tiba 10 hari kemudian namun sehingga kini produk berkenaan tidak tiba dilokasi yang diberikan.

“Saya cuba menghubungi lelaki berkenaan namun tidak berjawab. Saya menyedari ditipu dan dinasihatkan rakan kongsi untuk membuat laporan polis.

“Saya kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi pada 3 Mac lalu untuk tindakan lanjut,”katanya.

Sementara itu, Pengerusi Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA Datuk Seri Michael Chong berkata, siasatan kes berkenaan kini dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman.

“Kita berharap kes ini dapat diselesaikan dengan cepat dan suspek ditangkap bagi mengelakkan ramai lagi menjadi mangsa penipuan,”katanya.

Disiarkan pada: March 12, 2020 @ 3:51pm
d