mutakhir

Vape jadi punca pelajar dibelasah teruk

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

VAPE atau rokok elektronik didakwa menjadi punca pelajar lelaki Tingkatan Satu dibuli sekumpulan pelajar senior di sebuah maahad tahfiz di Tanjong Karang, semalam.

Menurut sumber dalaman maahad tahfiz yang enggan dikenali berkata, dalam kejadian kira-kira 3 petang itu, semua tenaga pengajar sedang menjamu selera.

Menurutnya, pelajar senior didakwa tidak berpuas hati dengan mangsa selepas perbuatannya menghisap vape dalam asrama terbongkar.

"Pelajar senior itu dipercayai tidak berpuas hati dengan mangsa apabila vape mereka turut dirampas dan akibatnya, mangsa dibelasah kumpulan pelajar terbabit.

"Pihak kami pada mulanya dimaklumkan mangsa mengalami sakit perut dan membawanya ke Hospital Tanjong Karang (HTK) untuk pemeriksaan," katanya ketika ditemui Harian Metro, hari ini.

Menurut sumber, sebelum kejadian berlaku, mangsa ditangkap guru selepas menghisap vape dalam asrama.

"Kami kemudian meminta semua pelajar berkumpul di surau dan kami membuat pemeriksaan di asrama.

"Hasil pemeriksaan, kami merampas beberapa vape dan telefon bimbit," katanya.

Katanya, pihak maahad tahfiz menyerahkan sepenuhnya kes itu kepada pihak polis untuk siasatan lanjut dan meminta masyarakat tidak membuat andaian serta tohmahan terhadap institusi tahfiz.

"Kami sudah menjalankan semua prosedur operasi standard (SOP) dan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada keluarga mangsa dan tujuh pelajar yang terbabit dalam kes buli ini.

"Malah, kami juga akan mengadakan mesyuarat bersama tenaga pengajar bagi mengambil tindakan tegas terhadap pelaku termasuk memberhentikan pelajar yang terbabit.

"Soal disiplin sangat ditekankan dan kes ini akan dibincangkan sebelum keputusan diumumkan dalam tempoh terdekat," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan seorang pelajar lelaki cedera selepas menjadi mangsa buli sekumpulan pelajar senior di sebuah maahad tahfiz di daerah ini.

Difahamkan, kejadian buli itu mendapat perhatian netizen selepas status dan gambar dimuat naik seorang pengguna Facebook (FB) yang mendakwa abang kepada mangsa tular di laman sosial.

Rata-rata netizen mencemuh dan mengecam tindakan tidak berperikemanusiaan yang dilakukan terhadap pelajar lelaki itu.

Berita berkaitan

Dibuli pelajar senior hingga rosak limpa

Disiarkan pada: March 12, 2020 @ 4:27pm
d