mutakhir

Istiadat angkat sumpah EXCO Melaka esok

Oleh Amir Mamat

SEMBILAN Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Melaka yang terpilih sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO), akan mengangkat sumpah jawatan, esok.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Ketua Menteri Melaka, hari ini, Istiadat Pengurniaan, Angkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Ahli EXCO itu akan berlangsung di Dewan Seri Negeri, di Ayer Keroh, 2.30 petang.

Istiadat di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob itu susulan perubahan pucuk kepemimpinan negeri menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) negeri pimpinan Adly Zahari tumbang.

Ia sekali gus membolehkan gabungan Perikatan Nasional (PN) membabitkan 13 Adun Barisan Nasional (BN) bersama masing-masing seorang Adun PKR dan DAP (kini Bebas) membentuk kerajaan baharu.

Semalam, Ketua Menteri Melaka, Datuk Sulaiman Md Ali mengesahkan senarai nama Adun yang bakal dilantik sebagai EXCO, sudah dipersembahkan kepada Mohd Khalil.

Sumber memberitahu NSTP, dua EXCO yang dilantik kerajaan PH sebelum ini, dijangka dilantik semula ke jawatan itu.

Mereka adalah ADUN Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis dan ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee.

ADUN Taboh Naning, Datuk Latipah Omar adalah satu-satunya wakil rakyat wanita dalam kerajaan PN negeri juga dikatakan akan dilantik ke jawatan berkenaan.

Selain itu, mereka yang dikatakan terpilih adalah dalam kalangan pemegang jawatan Umno di peringkat bahagian iaitu Datuk Seri Abd Ghafaar Atan (Asahan), Datuk Hasan Abd Rahman (Sungai Rambai) dan Datuk Wira Ismail Othman (Kuala Linggi)

Turut dikatakan akan dilantik, Datuk Roslan Ahmad (Merlimau), Datuk Noor Azman Hassan (Pantai Kundor) dan Rahmad Mariman (Ayer Molek).

  • Lagi berita berkaitan desas-desus pakatan baharu
  • Disiarkan pada: March 12, 2020 @ 4:30pm
    d