mutakhir

Pesara tak mengaku tipu

Oleh Asrol Awang

PESARA kerajaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini atas tuduhan menipu seorang lelaki sebanyak RM19,754 pada tahun lalu.

Tertuduh, Mohammed Alwi, 61, dari Taman Setia Jaya, Lipis membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Ghazali Mohamad Taib.

Mengikut pertuduhan, bekas Ketua Pembantu Tadbir Jabatan Kerja Raya (JKR) Lipis itu didakwa menipu Zaharin Othman pada 12 tengah hari, 30 Mei tahun lalu.

Tertuduh didakwa dengan memperdayakan mangsa bahawa 10 peratus daripada nilai projek adalah sebagai upah untuk diberikan kepada Ab Rahman M Nor kerana membantu mendapatkan kontrak dengan JKR Lipis.

Perbuatan tertuduh itu mendorong mangsa menyerahkan wang tunai RM10,000 dan cek bernilai RM9,754.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun, sebat dan denda.

Pada prosiding itu, peguam Mohd Falihin Kamil merayu mahkamah mengurangkan jaminan RM10,000 yang ditawarkan pihak pendakwaan atas alasan anak guamnya kini menanggung keluarga dengan pencen bulanan sebanyak RM1,800.

“Tertuduh mempunyai seorang isteri yang juga pesakit talasemia yang perlu mendapatkan rawatan di hospital manakala seorang daripada empat anaknya masih belajar,” katanya.

Mohd Ghazali membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin serta perlu melaporkan diri di balai polis setiap bulan dan menetapkan sebutan semula kes pada 7 April ini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Siti Sarah Zainal Abiddin.

Disiarkan pada: March 12, 2020 @ 4:55pm
d