mutakhir

Dua ditahan jual rokok seludup

Oleh Adnan Ibrahim

BATALION 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan dua lelaki berusia 25 dan 66 tahun yang menjual rokok seludup di dua lokasi berasingan semalam.

Suspek masing-masing ditahan 2 petang dan 10.45 malam pada Ops Nyah 1.

Pegawai Pemerintah Batalion 5, Superintendan Jaafar Kaimi berkata, tangkapan pertama membabitkan suspek berusia 66 tahun di Jalan Kampung Bugis, Senggarang, Batu Pahat.

“Pemeriksaan terhadap suspek yang memandu Proton Saga menemui 4,800 batang rokok bernilai lebih RM10,000 disimpan dalam bonet.

“Suspek kedua yang juga warga Indonesia dibuat di Taman Pasir Emas, Kampung Pasir Putih, Pasir Gudang,” katanya hari ini.

Menurut beliau, penahanan suspek kedua membawa kepada penemuan 9,068 batang rokok bernilai lebih RM5,000.

Jaafar berkata, suspek pertama membekalkan rokok terbabit ke kedai runcit sekitar Senggarang.

“Suspek kedua pula menjualnya kepada rakan senegara serta penduduk sekitar Kampung Pasir Putih.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967. Suspek diserah kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat dan Balai Polis Pasir Putih untuk tindakan lanjut,” katanya.

gambar:

1- Lelaki warga tempatan ditahan bersama rokok seludup di Jalan Kampung Bugis, Senggarang, Batu Pahat, 2 petang semalam.

2- Lelaki warga Indonesia yang ditahan bersama rokok seludup di Taman Pasir Emas, Kampung Pasir Putih, Pasir Gudang, 10.45 malam semalam.

tamat

Disiarkan pada: March 12, 2020 @ 4:57pm
d