mutakhir

'Tuanku ucapkan terima kasih'

Oleh Balqis Jazimah Zahari

KESEMUA tujuh bekas EXCO PH yang dipanggil untuk mengadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Kinta, hari ini tidak berkaitan dengan pelantikan Menteri Besar Perak Ke-13.

Perkara berkenaan dimaklumkan sebaik selesai pertemuan yang berlangsung selama kira-kira 25 minit bersama ketujuh-tujuh bekas EXCO berkenaan.

Datuk Asmuni Awi berkata, sebaliknya pertemuan bertujuan baginda mahu mengucapkan terima kasih atas perkhidmatan yang diberikan kesemua EXCO kepada rakyat.

“Tiada (membabitkan perkara berkenaan pelantikan Menteri Besar). Istana yang meminta kita datang dan pada mulanya kita juga tidak mengetahui apa perkara yang Tuanku hendak daripada kami.

“Jadi kami sebagai rakyat di bawah pemerintahan Tuanku apabila ditetapkan untuk mengadap (hari ini) jadi kami ikutlah (untuk mengadap).

“Tuanku mengucapkan terima kasih di atas segala sumbangan dan perkhidmatan yang sudah diberikan kami pegawai EXCO ini selama 20 bulan sejak pilihanraya yang lalu ketika kerajaan PH ditubuhkan sehinggalah berakhir baru-baru ini,” katanya kepaad sidang media sebaik berjalan keluar dari Istana sejurus selesai mengadap Sultan Nazrin.

Asmuni berkata, Tuanku mengharapkan walaupun mereka kini sudah tidak berada dalam kerajaan tetapi masih lagi memberikan sumbangan dalam pelbagai cara lain.

“InsyaAllah kami di sini tidak berasa kecewa dan kita akan menjadi pembangkang yang baik juga efektif dan terus menunaikan seperti apa yang dikehendaki oleh Tuanku Sultan untuk membantu kerajaan dalam menghadapi suasana yang berlaku pada hari ini.

“Kami sudah bersedia untuk menjadi pembangkang,” katanya.

Disiarkan pada: March 12, 2020 @ 6:57pm
d