mutakhir

Letupan, asap hitam berkepul-kepul [METROTV]

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

BUNYI letupan disusuli asap hitam berkepul-kepul ke udara mengejutkan peniaga kedai makan yang berada 100 meter dari kilang simpanan minyak pelincir yang hangus terbakar pada tengah hari ini.

Peniaga berkenaan, Hasimah Mamat, 47, berkata, dalam kejadian pada 12.25 tengah hari itu, dia sedang melayan pelanggan yang makan di gerainya.

“Disebabkan panik dengan kebakaran yang berlaku, seorang daripada pekerja kilang besi bersebelahan dengan kilang yang terbakar itu menunggang motosikal ke balai bomba berhampiran bagi memaklumkan kejadian ini.

“Sementara menunggu pasukan bomba datang memberikan bantuan, beberapa pekerja kilang yang berada di lokasi kebakaran cuba memadamkannya dengan memunggah air,” katanya ketika ditemui di lokasi kebakaran di Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa.

Pembantu kedai dari Kubang Kerian, Mohd Firdaus Shamsudin, 34, berkata, dia yang sedang memandu kereta dari lampu isyarat di Kubang Kerian menghala ke Pengkalan Chepa kira-kira tujuh kilometer dari lokasi kejadian sudah ternampak kepulan asap terbabit.

“Bagi mengetahui apa yang berlaku, saya menghubungi rakan yang tinggal di Pengkalan Chepa dan dia memaklumkan berlaku kebakaran di sebuah kilang.

“Saya yang pada ketika itu baharu sahaja mengambil anak bongsu bergegas ke lokasi kejadian untuk melihatnya sendiri,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan Mohd Wildan Azhari berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian pada 12.32 tengah hari.

“Seramai 44 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Chepa, BBP Kota Bharu, BBP Kota Darul Naim dan BBP Tunjong termasuk pasukan bomba sukarela bergegas ke lokasi kejadian dan turut dibantu sembilan anggota polis yang mengawal lalu lintas.

“Setibanya di lokasi kejadian, didapati kilang minyak pelincir sudah 90 peratus hangus terbakar dan api dapat dipadam sepenuhnya sejam kemudian.

“Ketika kejadian juga tidak ada mangsa di dalam kilang berkenaan dan punca serta kerugian masih lagi dalam siasatan,” katanya.

Disiarkan pada: March 12, 2020 @ 7:02pm
d