mutakhir

Kedah kekal status quo

Oleh M Hifzuddin Ikhsan

KERAJAAN Pakatan Harapan (PH) Kedah masih mengekalkan status quo selepas mendakwa mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada PAS.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, situasi Kedah berbeza dengan keadaan di peringkat Pusat kerana kerajaan negeri mempunyai hubungan baik bersama pembangkang yang diterajui PAS.

Katanya, kebanyakan pihak masih berharap suasana politik di Kedah kekal tenteram dan kerajaan negeri masih boleh terus berkhidmat sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 akan datang.

“Kita di Kedah ada cara tersendiri menguruskan keadaan, berbeza dengan negeri lain kerana kita menjaga hubungan dengan semua pihak termasuk pembangkang.

“Jadi apa jua kemelut politik berlaku di peringkat nasional tidak semestinya berlaku di Kedah kerana kita masih mengekalkan status quo,” katanya pada sidang media selepas menghadiri program penyampaian sumbangan khairat kematian di Jitra, hari ini.

Semalam, Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, mendakwa kerajaan negeri semakin goyah selepas beberapa ADUN daripada PH dijangka memberi sokongan kepada Perikatan Nasional.

Mukhriz turut menafikan bakal ada ADUN daripada PH akan melompat dan PAS sendiri memaklumkan tidak akan gopoh dalam menukar pentadbiran negeri.

“Sebab itu tak berlaku lompatan ADUN dari PH ke pembangkang supaya kerajaan negeri jatuh.

“PAS juga belum bertindak, saya sudah bagi penerangan kepada PAS dan Sanusi sendiri capai kata Kedah tiada perubahan,” katanya.

Menurutnya, beliau juga sudah bincang di peringkat tertinggi parti dan tiada perbezaan pendirian PAS Kedah dan Pusat.

Katanya, PAS Kedah mendapat restu kepimpinan tertinggi mengenai pendirian PAS di Kedah.

Mengulas mengenai kemungkinan DUN Kedah dibubarkan, Mukhriz menegaskan ia hanya akan berlaku jika mendapat perkenan Sultan Kedah.

“Pembubaran DUN Kedah hanya akan berlaku jika Menteri Besar mempersembahkannya kepada Tuanku Sultan untuk perkenan baginda selain kita perlu lihat keperluan membubarkannya.

“Jadi kita kekal (kerajaan negeri) seperti biasa, pada 23 Mac ini akan diadakan perasmian Sidang DUN oleh Tuanku Sultan dan perbahasan berjalan selama tiga hari,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Kabinet baharu |
  • Barisan Kabinet baharu
  • Disiarkan pada: March 12, 2020 @ 7:10pm
    d