mutakhir

'Tidak mahu bebankan adik-beradik'

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

LELAKI yang juga pesakit mental terpaksa mengemis dengan menjual berus gigi dan beberapa barangan lain demi kelangsungan hidupnya.

Tuan Mohd Tuan Yusoff, 50, yang berasal dari Beris, Bachok berkata, elaun bulanan diperoleh daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM250 sebulan tidak mencukupi untuk menampung kos sara hidupnya menyebabkan dia terpaksa menjual di kaki lima sebagai sumber pendapatan.

“Walaupun saya pernah ditahan sebelum ini, namun saya tidak boleh berhenti daripada mengemis kerana hanya itu sahaja mampu saya lakukan tambah pula dengan keadaan diri yang tidak sempurna seperti insan menyebabkan saya sukar mendapatkan pekerjaan.

“Saya masih lagi mempunyai adik-beradik yang lain, namun mereka bukan dalam kalangan orang yang senang, saya tidak mahu membebankan mereka dan melakukan apa yang termampu untuk menyara hidup.

“Jika saya mempunyai wang, sudah tentulah saya akan memohon lesen menjaja bagi mengelakkan saya ditahan oleh pihak penguat kuasa tetapi saya tidak ada pilihan dan terpaksa menjalani perniagaan secara tidak sah kerana kekangan kewangan,” katanya yang masih belum berkahwin.

Dia berkata demikian kepada media selepas ditemui di Pejabat JKM Kota Bharu selepas diselamatkan dalam Operasi Bersepadu Menyelamatkan Pengemis di Kota Bharu hari ini.

Operasi berkenaan membabitkan anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan dan JKM.

Sementara itu, seorang pengemis warga Thailand, Muhamasaki Bula, 45, berkata, dia terpaksa menjalani perniagaan dengan menjaja memandangkan dia perlu menanggung perubatan untuk merawat penyakit saraf yang dialaminya sejak beberapa tahun lalu.

“Desakan hidup menyebabkan saya terpaksa mencari rezeki seperti ini walaupun mengetahui ia salah di sisi undang-undang,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasaan JKM Negeri Mohamad Md Nor berkata, operasi yang dijalankan itu berdasarkan aduan yang diterima daripada orang ramai di sekitar Kubang Kerian dan Pasir Tumboh.

“Operasi yang diadakan hampir dua jam bermula 11 pagi hingga 12.40 tengah hari itu membabitkan 10 anggota pengguat kuasa berjaya menyelamatkan enam pengemis berusia antara 10 hingga 65 tahun di sekitar kawasan berkenaan.

“Mereka yang diselamatkan terdiri daripada seorang rakyat tempatan dan seorang warga Thailand manakala empat lagi adalah dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) termasuk kanak-kanak berusia 10 tahun.

“Daripada jumlah itu, pengemis UNCHR akan diserahkan kepada JIM dan bagi pengemis warga tempatan yang diselamatkan akan ditempatkan di Rumah Seri Kenangan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Beliau berkata, kebanyakan mereka yang diselamatkan dalam operasi adalah yang berulang dan pernah diberi amaran sebelum ini, namun tetap melakukannya dan hari ini pihak terpaksa menyelamatkan mereka seterusnya diambil tindakan.

Disiarkan pada: March 12, 2020 @ 8:34pm
d