mutakhir

Padah sorok 357kg minyak

Oleh Syaherah Mustafa

TINDAKAN seorang wanita menyorokkan 357 kilogram (kg) minyak masak pelbagai jenama di dalam rumah hingga ke tandas akhirnya dikesan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), semalam.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan, Azanizam Affendi Juri, berkata wanita berusia 44 tahun itu ditemui ketika operasi di sebuah kediaman di Kampung Kubang Gabus, di sini.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati semua minyak dibungkus seberat satu kg setiap satu itu adalah untuk pasaran di kedai milik wanita itu yang terletak satu kilometer sahaja daripada rumahnya.

“Wanita itu mengakui kedai itu miliknya namun dia melakukan kesalahan kerana menyimpan barang kawalan bersubsidi di tempat tidak berlesen iaitu di rumahnya.

“Penemuan kes ini adalah hasil aduan orang awam sebelum risikan dijalankan pasukan risik KPDNHEP seterusnya serbuan dilakukan ke rumah itu,” katanya.

Azanizam berkata, operasi terbabit juga hasil kerjasama dengan Pasukan Polis Marin, Wilayah Tiga, Pengkalan Kubor, Tumpat, dalam Operasi Khas Bersepadu Interagensi bermula 2 petang hingga 9 malam.

Katanya, seramai 12 anggota bertanggungjawab melaksanakan operasi itu yang bertujuan membanteras penyeludupan dan penyelewengan barang kawalan bersubsidi disempadan Malaysia-Thailand.

“Kes membabitkan penyimpanan barang kawalan bukan di premis yang dilesenkan disiasat dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

“KPDNHEP memastikan kawalan sentiasa dijalankan bagi mengatasi masalah penyeludupan terutama membabitkan kes barang kawalan di sepanjang kawasan sempadan,” katanya.

Tambah beliau, kerjasama baik dengan agensi penguatkuasaan lain turut memberi impak positif yang dapat melancarkan lagi operasi mengesan penyeludup yang tidak bertanggungjawab ini.

Disiarkan pada: March 13, 2020 @ 2:39pm
d