mutakhir

Sindiket pinjaman tidak wujud tumpas

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

SINDIKET pinjaman tidak wujud yang aktif memperdaya dan menipu mangsa membabitkan kerugian lebih RM150,000 sejak Januari lalu tumpas selepas polis menahan 22 individu dalam dua serbuan berasingan di Jalan Setapak dan Jalan Off Genting Klang, di sini, Selasa lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, serbuan dijalankan hasil risikan menerusi Op Seagull oleh Bahagian Operasi dan Bantuan Teknik Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman dan JSJK Kuala Lumpur.

Beliau berkata, serbuan pertama dilakukan di sebuah premis di Jalan Setapak pada jam 6.45 petang dan berjaya menahan enam individu berusia 25 hingga 39 tahun.

“Polis merampas 19 telefon pintar, 14 buku nota dan dua pasport negara India dalam serbuan berkenaan.

“Susulan serbuan itu, polis kemudian menyerbu kediaman di kondominium mewah di Jalan Off Genting Klang pada jam 9.15 malam,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Mazlan berkata, serbuan kedua berkenaan berjaya menahan 16 lagi individu dipercaya ahli sindiket penipuan berkenaan yang berusia 18 hingga 39 tahun.

“Serbuan berkenaan berjaya merampas 36 telefon pintar, dua komputer riba, 14 buku nota, empat beg dan dua kad akses.

“Siasatan mendapati modus operandi suspek adalah menyebarkan tawaran pinjaman secara rawak sebelum dihubungi pelanggan,” katanya.

Menurutnya, apabila pelanggan menghubungi mereka, sindiket berkenaan akan meminta dokumen sebelum memberitahu pinjaman yang diminta sudah diluluskan.

“Bagaimanapun, peminjam perlu membayar yuran pemprosesan dan cukai sebelum wang pinjaman dimasukkan ke dalam akaun.

“Mangsa yang terpedaya dengan taktik sindiket berkenaan akan memasukkan wang ke akaun keldai,” katanya.

Katanya, pihaknya kini sedang mengesan dalang utama sindiket berkenaan dikenali sebagai ‘Manggo’ dan dipercayai masih berada di negara ini.

“Polis percaya dalam menyelesaikan 29 kes pinjaman tidak wujud di sekitar Kuala Lumpur dengan kerugian RM150,000.

“Semua suspek yang ditahan kini disambung reman sehingga 16 Mac ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Disiarkan pada: March 13, 2020 @ 4:42pm
d