mutakhir

Permohonan semakan kehakiman Petronas ditolak

Oleh Mohd Roji Kawi

MAHKAMAH Tinggi Kuching hari ini menolak permohonan semakan semula kehakiman oleh Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) berhubung pelaksanaan Cukai Jualan Negeri (SST) terhadap produk petroleum.

Hakim Azhahari Kamal Ramli membuat keputusan itu selepas mendengar hujah daripada kedua-dua pihak.

Kerajaan negeri Sarawak dibarisi pasukan perundangan yang diketuai Penasihat Undang-Undang negeri Datuk Seri J C Fong dan Peguam Negeri Datuk Talat Mahmood Abdul Rashid serta timbalannya, Saferi Ali.

Petronas diwakili peguamnya, Datuk Malik Imtiaz Sarwar dan Alvin Yong.

Azhahari berkata, mengikut Perkara 95 (B) (3) Perlembagaan Persekutuan, sebarang cukai jualan yang dikenakan oleh undang-undang negeri hendaklah disifatkan sebagai antara perkara yang disebutkan dalam Senarai Negeri, Ordinan Cukai Jualan Negeri dan mana-mana perundangan subsidiari yang dibuat mengikut Perlembagaan dan sah.

“Permohonan itu ditolak dengan kos RM50,000 yang diberikan kepada responden,” katanya.

Sementara itu, Fong yang ditemui di luar Mahkamah selepas prosiding itu berkata, beliau berharap keputusan itu diterima oleh Petronas dan tiada rayuan susulan dikemukakan.

“Diharapkan, semua pihak berkepentingan seperti Petronas, Petros dan kerajaan negeri Sarawak akan bekerjasama dalam industri gas yang sedang berdepan cabaran berikutan harga minyak dan permintaan global yang rendah,” katanya.

Disiarkan pada: March 13, 2020 @ 4:57pm
d