mutakhir

Exco bukan lompat parti, kes mahkamah - DAP Perak

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

DAP Perak menuntut supaya kerajaan negeri mengecualikan individu yang dianggap mengkhianati mandat rakyat serta didakwa di mahkamah daripada dilantik ke dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) negeri itu.

Menerusi satu kenyataan hari ini, DAP berkata, kerajaan atas nama Perikatan Nasional (PN) yang ditubuhkan melalui gabungan Umno, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak pernah sesekali memperoleh mandat serta restu dari rakyat khususnya pengundi negeri itu.

Menurutnya, tindakan beberapa orang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Harapan (PH) yang bertindak melompat parti sekali gus dianggap mengkhianati mandat rakyat Perak.

“Justeru selaras dengan prinsip demokrasi, DAP Perak menggesa Exco Perak yang akan dibentuk haruslah bersih daripada anggota yang mengkhianati mandat rakyat serta individu yang telah dan sedang didakwa di mahkamah.

“Demi kewibawaan kerajaan naungan Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hanya mereka yang mempunyai rekod bersih sahaja boleh dipertimbangkan untuk perlantikan jawatan Exco dan bukan sebaliknya,” kata kenyataan itu.

Menurutnya, DAP Perak menjunjung kasih ke hadapan Sultan Perak atas perkenan melantik Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Menteri Besar Perak Ke-13 hari ini.

“Semoga dengan kebijaksanaan kepimpinan tuanku akan terus memastikan urusan pentadbiran negeri berjalan lancar ke arah negeri Perak yang makmur dan sejahtera,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan desas-desus pakatan baharu
  • Disiarkan pada: March 13, 2020 @ 5:09pm
    d