mutakhir

Ahmad Faizal angkat sumpah MB Perak [METROTV]

Oleh BERNAMA

DATUK Seri Ahmad Faizal Azumu mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Perak Ke-13 di hadapan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini.

Ahmad Faizal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chenderiang menerima watikah pelantikan daripada Sultan Nazrin dan kemudian mengangkat sumpah jawatan di hadapan baginda di Istana Iskandariah di Kuala Kangsar.

Beliau kemudiannya menandatangani surat pelantikan dengan disaksikan Hakim Utama Mahkamah Tinggi Ipoh Datuk Hisham Hashim.

Sultan Nazrin berkenan melantik Ahmad Faizal sebagai menteri besar selepas beliau mendapat kepercayaan sebahagian besar Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan dibuat berpandukan Perkara XVI Fasal 2 (a) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan.

Selasa lepas, Ahmad Faizal meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak Ke-12 selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) di negeri itu yang dipimpinnya selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) tumbang.

Sehari sebelum itu, Ahmad Faizal mengumumkan Perikatan Nasional (PN) Perak terdiri daripada Umno, Pas dan Bersatu mendapat sokongan 32 daripada 59 ADUN bagi membentuk kerajaan negeri yang baharu.

Pada hari sama, empat Adun bertindak meninggalkan parti masing-masing dengan seorang Adun PKR menyertai Bersatu, manakala dua Adun DAP dan seorang Adun Amanah meninggalkan parti masing-masing dan mengisytiharkan diri mereka sebagai wakil rakyat Bebas.

Mereka yang terbabit ialah Adun PKR Kuala Kurau Datuk Abdul Yunus Jamahri yang menyertai Bersatu, manakala Adun Tronoh Paul Yong Choo Kiong dan Adun Buntong A Sivasubramaniam meninggalkan DAP serta Adun Titi Serong Hasnul Zulkarnain keluar dari Amanah.

Yong, Sivasubramaniam dan Hasnul bagaimanapun menyatakan sokongan kepada PN Perak yang akan mengambil tampuk pemerintahan negeri daripada PH selaras dengan jajaran politik baharu di negeri itu.

Berikutan itu, komposisi Dun Perak yang mempunyai 59 kerusi terdiri daripada Barisan Nasional (BN) yang kesemuanya Umno (25), DAP (16), Amanah (5), Bersatu (4), PKR (3), Pas (3) dan Bebas (3).

Berita berkaitan:

  • Ahmad Faizal dilantik MB Perak ke-13
  • Disiarkan pada: March 13, 2020 @ 5:12pm
    d