mutakhir

Bukit gondol cetus kebimbangan

Oleh Ramli Ibrahim

MASYARAKAT Orang Asli di beberapa kampung sekitar Tanah Tinggi Lojing, Gua Musang berharap kerajaan baharu dapat menyelesaikan masalah penggondolan bukit di tempat mereka.

Ia berikutan terdapat aktiviti oleh pihak tidak bertanggungjawab membuka kebun sayur tanpa kawalan dan memberi kesan buruk hingga menjejaskan kehidupan mereka.

Terdapat 10 kampung yang didakwa terjejas iaitu Kampung Jek Jok, Jedip, Brooke Lama, Mendrop, Hendrop, Tuel, Sang Wai, Bahong, Sendrop dan Kampung Kuala Rengil.

Penghulu Orang Asli Kampung Jedip, Nasir Busu, 49, berkata Kementerian Alam Sekitar perlu bertindak segera bagi mengatasi masalah itu.

Menurutnya, Menteri Alam Sekitar, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man boleh turun ke kampung terbabit untuk meninjau masalah hakisan yang berlaku sejak lima tahun lalu.

“Keluarga Orang Asli di kampung berkenaan hampir setiap malam apabila hujan lebat tidak lena tidur kerana bimbang hakisan lumpur.

“Kebun sayur yang diusahakan syarikat dari luar negeri ini terletak atas bukit hanya 200 meter dari rumah penduduk,” katanya ketika ditemui Kampung Jedip, dekat sini, hari ini.

Seorang penduduk Orang Asli di Kampung Sang Wai, Rosli Angah, 39, pula berkata, penduduk berharap kerajaan yang baharu dilantik dapat menyelesaikan masalah itu secepat mungkin.

“Kampung saya sudah beberapa kali dilanda hakisan lumpur akibat bukit disodok oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk membuka kebun sayur.

“Kami pernah tinggal di dewan orang ramai beberapa malam kerana takut dengan hakisan lumpur apabila hujan lebat,” katanya.

Disiarkan pada: March 13, 2020 @ 6:51pm
d