mutakhir

Perkeso Pahang bayar tuntutan caruman RM27.3 juta

Oleh Asrol Awang

SEJUMLAH RM27.3 juta tuntutan bayaran membabitkan 6,532 kes diproses Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Pahang, tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia ,Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan negeri, Datuk Seri Mohd Johari Hussain berkata, daripada jumlah itu, faedah hilang upaya kekal merekodkan tuntutan kes tertinggi iaitu RM13.2 juta.

Menurutnya, ia diikuti faedah hilang upaya sementara yang berjumlah RM8.8 juta, faedah pengurusan mayat (RM1.62 juta) dan pencen penakat (RM1.59 juta).

“Bayaran ganti belanja pula berjumlah RM1.05 juta, faedah pencen ilat (RM860,047) dan faedah orang tanggungan (RM224,419).

“Bagi tempoh Januari hingga Februari tahun ini pula, Perkeso Pahang sudah memproses 1,288 kes membabitkan tuntutan bayaran berjumlah RM4.7 juta,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan cek faedah di Wisma Perkeso Pahang, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Perkeso Pahang, Tarmizi Mukhtar.

Pada majlis itu, sembilan orang menerima faedah Perkeso yang membabitkan jumlah pembayaran sebanyak RM114,747.43 bagi kes hilang upaya kekal, pencen penakat, pencen ilat dan alatan pemulihan.

Sementara itu, Tarmizi berkata, pihaknya mensasarkan golongan petani dan nelayan untuk membuat caruman dengan pertubuhan itu.

Katanya, ketika ini, pihaknya bekerjasama dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan persatuan nelayan untuk memastikan golongan itu berbuat demikian.

“Apabila membuat caruman, ia dapat meringankan beban pencarum serta ahli keluarga mereka jika berdepan dengan musibah atau kemalangan,” katanya.

Disiarkan pada: March 13, 2020 @ 7:42pm
d