mutakhir

PELEKAT gesa kaji khasiat madu kelulut

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

“MADU lebah kelulut mempunyai banyak khasiat namun ujian klinikal terhadapnya masih belum dijalankan,” kata Pengerusi Persatuan Lebah Kelulut Terengganu (PELEKAT) Daerah, Mohd Sufian Mat Nor.

Menurutnya, khasiat yang dimiliki madu lebah kelulut diakui mampu merawat pelbagai jenis penyakit termasuk asma, migrain, batuk dan penyakit lain.

“Khasiatnya diakui sesuai dengan apa yang diberitahu melalui al-Quran dan ia sepatutnya dimanfaatkan sebaik mungkin.

“Sekarang musim penuluran wabak Covid-19 dan hingga kini vaksin pencegahan dan rawatan belum ditemui. Berkemungkinan besar madu lebah kelulut mempunyai khasiat melawan penyakit berkenaan kerana selama ini madu digunakan secara tradisional untuk menghilangkan batuk dan menambah antibodi tubuh,” katanya yang ditemui pada Program Pemindahan Ilmu Penuntut Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Galeri Madu Lebah Kelulut Bukit, di Kampung Bukit Bayas, hari ini.

Tambahnya, dia berharap pihak yang mempunyai kemampuan dan kepakaran seperti universiti perlu memainkan peranan bagi membuktikan madu lebah itu mempunyai khasiat tertentu berdasarkan kajian klinikal.

“Sejak penularan wabak itu, permintaan terhadap madu lebah kelulut meningkat mendadak.

“Biasanya jualan madu lebah kelulut hanya di bawah satu kilogram sehari tetapi sekarang mencecah empat kilogram sehari,” katanya yang menjalankan kegiatan penternakan lebah kelulut sejak lima tahun lalu.

Menurutnya, seramai 150 penternak di daerah ini daripada 1,000 penternak di seluruh negeri yang menjalankan kegiatan penternakan lebah madu kelulut itu.

Disiarkan pada: March 13, 2020 @ 9:34pm
d