mutakhir

'Pari-pari' dalam gelap [METROTV]

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

CUBAAN pusat hiburan di Jalan Imbi, Kuala Lumpur menutup bekalan elektrik bagi mengelak pelayan pelanggan (GRO) warga asing ditahan polis, gagal selepas premis itu diserbu, 12.30 tengah malam tadi.

Serbuan sempena Ops Noda sepasukan 18 pegawai dan anggota Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, pihaknya menerima aduan dan melakukan risikan sebelum serbuan itu.

Katanya, tindakan pengurusan premis menutup bekalan elektrik menyukarkan pemeriksaan awal, namun hasil serbuan membolehkan 60 GRO warga asing berusia 19 hingga 30 tahun ditahan.

“Mereka terdiri daripada 52 wanita Thailand, tujuh Vietnam dan seorang Laos selain kita turut menahan lelaki berusia 49 tahun yang juga penjaga premis,” katanya ketika ditemui selepas operasi itu.

Nik Ros Azhan berkata, dua pekerja Vietnam dan seorang Bangladesh juga diberkas.

“Modus operandi mereka adalah pengunjung akan memberi tips melalui kalungan bunga dan selempang serendah RM100 hingga RM1,000.

“Pada malam ini juga GRO dan pengunjung berpakaian putih seperti pari-pari yang mana, jika kena pada bayaran, pengunjung boleh bawa wanita sebagai peneman ke tempat lain,” katanya.

Menurutnya, semua tahanan itu akan dihantar ke hospital untuk pemeriksaan Covid-19 sekiranya mempunyai simptom.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 4(1) (b) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan (AHWP) 1992,” katanya.

Disiarkan pada: March 14, 2020 @ 8:43am
d