mutakhir

Cekup warga asing melombong emas haram

Oleh Mohd Rafi Mamat

AKTIVITI perlombongan haram di Hutan Simpan Aur Gading, Kuala Lipis terbongkar susulan penahanan tiga warga asing, kelmarin.

Serbuan dilakukan Unit Penguatkuasaan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) di Kompartment 17 hutan itu, berdekatan Sungai Leboh.

Penolong Pengarah Kanan (Penguat kuasa Zon Pahang Barat) JPNP Azmi Mohd Zain berkata, warga asing yang ditahan berusia 23 hingga 31 tahun membabitkan warganegara Thailand dan Myanmar.

“Dua Myanmar yang ditahan pemegang kad Pesuruhjaya Bangsa-bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNCHR) dan kita juga menyita peralatan melombong termasuk jengkaut, palong emas, enjin penjana elektrik, pemotong kayu bergergaji, pam penyedut air dan bateri kenderaan.

“Mereka yang ditahan dilepaskan dengan jaminan polis selepas masing-masing membayar ikat jamin RM10,000.

“Pendakwaan akan dilaksana sejurus kertas siasatan lengkap,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Azmi berkata, tidak menolak kemungkinan warga asing itu hanya bekerja dan mendapat arahan daripada pihak tertentu.

Katanya, JPNP giat mengesan dalang utama perlombongan haram itu yang memusnahkan banyak pokok balak pelbagai saiz di kawasan terbabit.

“Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menceroboh dan menyebabkan kerosakan hutan. Mereka boleh didakwa mengikut Akta Perhutanan Negara (APN) 1984.

“Tangkapan pertama membabitkan perlombongan haram ini juga diharap menjadi pengajaran kepada semua pihak supaya tidak melanggar undang-undang,” katanya.

Disiarkan pada: March 14, 2020 @ 9:11am
d