mutakhir

Acara sukan di Pahang tangguh

Oleh Mohd Rafi Mamat

SEMUA aktiviti perhimpunan belia termasuk acara sukan di semua peringkat termasuk sekolah di Pahang ditangguhkan hingga waktu yang sesuai.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) Pahang Datuk Seri Mohd Johari Hussain, berkata tindakan drastik berkenaan perlu dilakukan bagi menjamin tidak berlaku penularan jangkitan wabak Covid-19.

Menurutnya, beliau sudah mengarahkan Jabatan Belia dan Sukan Pahang, Majlis Sukan Pahang (MSP) dan Jabatan Pendidikan Pahang (JPP) supaya menangguhkan semua acara perhimpuanan dan sukan membabitkan jumlah peserta yang ramai.

“Arahan dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Perdana Menteri dan Menteri Besar Pahang perlu dipatuhi semua pihak bagi menjamin penularan Covid-19 tidak terus berlaku.

“Banyak program terpaksa ditangguhkan pada tarikh akan ditetapkan kemudian walaupun semua persiapan sudah disediakan oleh pihak penganjur. Kerajaan negeri sentiasa mengikuti perkembangan semasa dan seterusnya mengambil langkah berjaga-jaga sejak awal lagi,” katanya.

Beliau berkata, virus Covid-19 begitu cepat merebak terutama apabila bersentuhan dan risiko pasti berlaku pada atlet dalam pelbagai acara sukan dan mustahil untuk mereka menggunakan topeng menutup mulut dan hidung ketika bersukan.

Mohd Johari berkata, Pahang sepatutnya menjadi tuan rumah kejohanan bola jaring dan skuasy Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) bawah 15 dan 18 tahun selama seminggu bermula minggu depan namun terpaksa ditangguhkan pada tarikh lain.

Disiarkan pada: March 14, 2020 @ 1:56pm
d