mutakhir

Tidak lagi bergadai nyawa

Oleh Ramli Ibrahim

PENDUDUK Kampung Bertam Baru dan Bertam Lama, Gua Musang tidak perlu lagi bergadai nyawa menggunakan jambatan keretapi untuk berhubung antara satu sama lain.

Ini berikutan pembinaan jambatan konkrit bernilai RM29 juta merentasi Sungai Galas kini dalam persiapan peringkat akhir.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nenggiri, Ab Aziz Yusof berkata, jambatan itu mula dibina lebih dua tahun lalu dan dijangka siap lebih awal daripada jadual asalnya tahun depan.

Beliau berkata, apabila jambatan itu siap dan dibuka nanti ia bakal membawa banyak perubahan kepada kedua-dua kampung terbabit.

“Ia bukan sahaja beri kemajuan kepada penduduk tempatan, malah pengguna lain untuk terus perjalanan ke Jeli melalui jambatan baharu itu.

“Kita mengakui selama ini dua kampung itu adalah kampung mati kerana jalan perhubungan terputus di situ berikutan halangan sungai,” katanya yang ditemui ketika meninjau pembinaan jambatan itu, di sini, hari ini.

Ab Aziz berkata, memang selama ini penduduk di dua kampung berkenaan bergantung kepada perhubungan melalui jambatan keretapi.

“Itu pun hanya boleh dilalui dengan berjalan kaki atau menunggang motosikal hingga kerap berlaku kemalangan hingga ada meragut nyawa.

“Kebanyakan penduduk tidak sabar menunggu untuk menggunakan jambatan konkrit itu kerana lebih selamat dan boleh melalui semua kenderaan. Lebih penting bagi pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Bendahara, Jerek yang berulang alik menggunakan jambatan keretapi selama ini,” katanya.

Disiarkan pada: March 14, 2020 @ 2:17pm
d