mutakhir

Palsu - Zahidi

Oleh Yusmizal Dolah Aling

“SAYA tidak pernah mengeluarkan kenyataan tersebut yang telah ditularkan dan ia adalah kenyataan palsu,” kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin.

Beliau mengulas satu poster tular di media sosial mendakwa tanaman ketum sebagai penawar kepada Koronavirus Baharu (Covid-19) yang kononnya disiarkan Harian Metro.

Katanya, setakat ini belum ada penyelidikan di Malaysia bahawa ketum boleh menjadi penawar Covid-19.

“Cuma yang kita sedia maklum, Ketum adalah minuman tradisional orang Melayu khususnya di kawasan utara yang dijadikan sebagai mengurangkan keletihan dan penawar penyakit seperti selsema atau demam.

“Walau bagaimanapun, saya melalui Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (IKIAM) dan beberapa institusi Pengajian Tinggi negara sedang melakukan kajian untuk memanfaatkan KETUM sebagai perubatan alternatif,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook miliknya hari ini.

Pemerhatian wartawan mendapati, poster yang tular berkenaan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan netizen yang mempersoalkan apakah benar tanaman itu boleh menjadi penawar kepada wabak itu.

Disiarkan pada: March 14, 2020 @ 4:11pm
d