mutakhir

Dirosak ribut

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

KHABAR duka apabila masjid dibina hasil wang derma rakyat Malaysia di Chad, Afrika setahun lalu musnah dipukul ribut pasir Gurun Sahara.

Masjid berkenaan di pedalaman perkampungan Wadjigui, Chad, Afrika, berada sejauh 200 kilometer (km) dari ibu kota N’Djamena dan berada di selatan Gurun Sahara itu hilang keseluruhan bahagian bumbungnya selain struktur kayu alang runtuh.

Exco Muslim Care Malaysia (MCM), Ahmad Safuan Ujar berkata, tragedi yang berlaku itu menyebabkan hampir 1,000 penduduk di perkampungan Wadjigui dan Miliya di pedalaman Chad hilang kemudahan untuk melakukan ibadah.

Menurutnya, masjid itu dianggap penting berikutan menjadi pusat dakwah untuk komuniti setempat selain lokasi melakukan solat berjemaah dan solat Jumaat.

“Malah, kelas mengaji al-Quran turut diadakan di masjid itu membabitkan anak penduduk,” katanya.

Ahmad Safuan berkata, kos untuk membaik pulih masjid yang rosak itu menelan belanja RM40,000 membabitkan kos membeli bahan asas binaan dan membawa peralatan dari ibu kota N’Djamena sejauh lebih 200km merentasi Gurun Sahara.

“Setakat ini pihak MCM mengutip dana bantuan sekitar RM12,000 bagi tujuan membaik pulih binaan masjid itu.

“Bagaimanapun kami memerlukan baki sekitar RM28,000 lagi untuk membolehkan masjid itu dibaik pulih segera. Insya-Allah wakil MCM akan ke sana untuk menyerahkan sumbangan dan melihat sendiri tugas baik pulih dilakukan,” katanya.

Sebarang sumbangan boleh disalurkan ke nombor Akaun Muslim Care Malaysia (MCM) melalui akaun Maybank 564490413882, Bank Islam 14014010147470 atau Bank Muamalat 14010007654717 atau menghubungi Ahmad Safuan ditalian 013 4886447.

Disiarkan pada: March 15, 2020 @ 6:00am
d