mutakhir

Penangan dadah... [METROTV]

Oleh Hamzah Osman

DUA beradik bertindak mencuri wang tabung Masjid Al-Falah, Kampung Padang Kandang, Langkawi, semata-mata mahu membeli dadah.

Perbuatan mereka yang dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di masjid itu membawa kepada penahanan kedua-duanya menerusi dua serbuan di Kampung Bayas, semalam.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, dua beradik berusia 24 dan 15 tahun itu ditahan susulan laporan ahli jawatankuasa masjid sejurus kejadian pada Selasa lalu.

“Kejadian disedari seorang jemaah masjid pada 9 malam Selasa, selepas melihat tabung masjid yang berkunci mempunyai kesan dipecahkan dan wang dilarikan.

“Laporan dibuat dan semakan terhadap CCTV membolehkan kita mengesan kedua-dua beradik itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Iqbal berkata, dalam siasatan awal, kedua-duanya mengaku mencuri wang tabung masjid itu untuk membeli dadah.

“Suspek lelaki memiliki pelbagai rekod jenayah lampau termasuk kes narkotik, manakala adik perempuannya tiada rekod jenayah.

“Polis turut merampas barangan kes termasuk baju, seluar dan topi keledar yang digunakan mereka ketika melakukan jenayah itu,” katanya.

Beliau berkata, dua beradik itu kini dalam tahanan reman dan disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: March 15, 2020 @ 9:07am
d