mutakhir

Kantoi bungkus dadah

Oleh Hamzah Osman

POLIS menahan empat lelaki leka membungkus dadah di stor belakang rumah di Kampung Bohor Masjid, Langkawi, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim, berkata lelaki berusia antara 24 dan 28 tahun itu, ditahan pada 7.45 malam.

Katanya, semua lelaki yang duduk atas lantai terkejut selepas polis menyerbu stor yang menjadi ‘port’ mereka untuk membungkus dadah.

“Pemeriksaan pada badan suspek dan di atas lantai dalam stor itu menemui bahan terlarang disyaki dadah heroin dan syabu seberat 40.6 gram (g).

“Turut dirampas masing-masing satu alat penimbang digital, gunting dan plastik lutsinar dipercayai digunakan untuk membungkus dadah,” katanya ketika dihubungi di Langkawi, hari ini.

Mohd Iqbal berkata, siasatan lanjut mendapati semua lelaki itu positif dadah, selain tiga daripadanya mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

“Semua suspek adalah penganggur dan penduduk tempatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Sementara itu, katanya, dalam serbuan berasingan pada 11.40 malam hari sama, polis menahan seorang lelaki berusia 26 tahun.

Katanya, dadah syabu dan heroin seberat 7.73 g turut dirampas dalam serbuan di Kampung Ayer Hangat, Langkawi.

“Suspek yang menetap di Kuala Nerang, Kedah ditahan reman dan disiasat mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara dua hingga lima tahun dan juga dikenakan hukuman tiga hingga sembilan sebatan,” katanya.

Disiarkan pada: March 15, 2020 @ 11:16am
d