mutakhir

Mabuk di sekatan polis

Oleh Zuliaty Zulkiffli

LELAKI ditahan polis kerana memandu dalam keadaan mabuk ketika melalui sekatan pemeriksaan Op Mabuk di Plaza Tol Alor Setar, hari ini.

Operasi dilakukan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar yang diketuai Inspektor Nor Hafiz Mohd Wazir, bermula 12 tengah malam hingga 3.30 pagi pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, anggotanya menahan kereta yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan ujian pernafasan mendapati bacaan alkoholnya mencecah 168/100 MG/100ML.

“Berikutan itu, lelaki berusia 49 tahun dibawa ke Balai Polis Trafik Kota Setar untuk menjalani ujian kedua.... dan keputusannya mendapati kadar alkohol dalam badannya melebihi had yang dibenarkan iaitu 130MG/100ML.

“Lelaki itu ditahan mengikut Seksyen 45A(1) APJ 1987 kerana memandu dalam keadaan mabuk,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Rozi berkata, hasil siasatan mendapati lelaki itu beralamat di Sik dan bekerja sebagai pemandu lori.

Dalam operasi itu juga, pihaknya mengeluarkan 20 saman di atas pelbagai kesalahan terhadap pengguna jalan raya.

Disiarkan pada: March 15, 2020 @ 11:30am
d