mutakhir

Busuk busuk kerana gas ammonia

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

PENDUDUK di Jalan Sirambai, Taman Sirambai, Kuala Selangor dikejutkan dengan bau tidak menyenangkan dari longgokan sisa buangan, semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Selangor Ismail Zakariya berkata, sepasukan pegawai dan anggota bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 3.09 petang.

“Tiba di lokasi, kita menjumpai sisa buangan itu dalam keadaan pepejal di samping terdapat label toksik,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya kemudian menghubungi Pusat Gerakan Operasi (PGO) bagi mengesan tahap bahaya sisa itu.

“Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) Rawang dan Shah Alam turun ke lokasi dan melakukan kerjasama menyahkan bahan sisa berbahaya dengan menggunakan dua aliran hos dari pili serta jentera bomba.

“Selain itu, pasukan kami juga memasang sawar sebagai langkah keselamatan kepada orang awam supaya tidak menghampiri bahan itu,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor Hafisham Mohd Noor berkata, hasil siasatan pihaknya mendapati sisa buangan itu mengandungi gas ammonia.

Beliau berkata, bahan itu kemudian dipindahkan ke dalam lori dan diserahkan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk tindakan selanjutnya.

“Operasi tamat sepenuhnya 7 malam,” katanya.

Disiarkan pada: March 15, 2020 @ 11:37am
d