mutakhir

Bot pukat tunda, ikan dirampas

Oleh Juwan Riduan

PASUKAN Polis Marin (PPM) menahan tujuh nelayan termasuk tekong dan merampas bot pukat tunda kerana melanggar syarat lesen di laut Jahat Shoal di Labuan, semalam.

Tindakan dilakukan ketika bot ronda PPM Labuan menjalankan tugas rondaan Op Gelora kira-kira 2 petang.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, hasil pemeriksaan terdapat tujuh orang termasuk juragan berada di atas bot berkenaan.

“Pemeriksaan mendapati dua daripada kru bot berusia 30 dan 32 tahun tiada pengenalan diri dan berasal dari Filipina.

“Pemeriksaan juga mendapati bot pukat tunda itu melanggar syarat lesen dengan menggunakan mata pukat keroncong kurang daripada 38 mililiter.

“Selain itu, bot ditahan bersama pukat serta hampir satu tan ikan pelbagai jenis,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohamad Pajeri berkata, bot pukat diiring masuk ke pangkalan PPM Labuan dan kes diserahkan kepada Jabatan Perikanan Labuan untuk tindakan lanjut.

“Jumlah keseluruhan rampasan termasuk pukat, bot dan pelbagai jenis ikan bernilai RM240,000.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat lesen dan Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Disiarkan pada: March 15, 2020 @ 2:30pm
d