mutakhir

Penyeludup petrol kecundang

Oleh Hazsyah Abdul Rahman

DUA warga Filipina ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bersama 980 liter petrol yang cuba diseludup keluar dari negeri ini di perairan Kampung Kenali dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, suspek berusia 25 dan 56 tahun ditahan susulan tindakan oleh bot ronda APPM yang menjalankan operasi khas Felda Sahabat.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, sebuah bot dilihat mencurigakan di perairan itu dan selepas berjaya dipintas, pemeriksaan mendapati ia dinaiki dua lelaki warga Filipina.

“Pemeriksaan lanjut menemukan 980 liter minyak petrol yang dipercayai cuba diseludup ke Filipina dianggarkan bernilai kira-kira RM1,700,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Katanya, tekong bot dan kru terbabit disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan

Akta Imigresen1959/63.

“Justeru, suspek, bot, dan petrol dibawa ke Pos Maritim Felda Sahabat untuk tindakan lanjut,” katanya.

Disiarkan pada: March 15, 2020 @ 4:55pm
d