mutakhir

Little Things dijual RM403,200

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

SEBANYAK 102 hasil seni pelukis terkemuka tempatan dan luar negara bernilai RM2.2 juta dijual menerusi bidaan dalam talian dan panggilan telefon.

Henry Butcher Art Auctioneers Malaysian (HBAA) melahirkan rasa gembira kerana mampu menjual hasil seni berkenaan biarpun berdepan penularan koronavirus baharu (Covid-19).

Pengarah HBAA, Sim Polenn berkata, acara lelongan tanpa pembida kali pertama dalam sejarah diadakan di Malaysia kerana kebiasaannya ia perlu dihadiri mereka yang ingin membeli lukisan itu.

Menurutnya, walaupun dijual secara dalam talian dan telefon namun sambutan amat menggalakkan apabila lebih 200 pembida terbabit dalam acara lelongan itu.

“Walaupun keadaan ekonomi, perubahan kerajaan dan pasaran global tidak menentu namun agak membanggakan apabila kutipan jualan mampu mencapai RM2.2 juta,” katanya ketika ditemui selepas tamat acara lelongan itu di Galeri Prima, Balai Berita NSTP, di Kuala Lumpur, hari ini.

Lukisan bertajuk ‘Little Things’ karya Datuk Ibrahim Hussein dijual pada harga RM403,200 menjadikan ia karya paling mahal dijual dalam acara berkenaan diikuti ‘Siri Tari’ karya Yusof Ghani, dijual pada harga RM168,000. Manakala, ‘Red Legong’ karya Ahmad Zakii Anwar di kedudukan ketiga iaitu bernilai RM108,000.

Sebanyak 173 koleksi pelbagai hasil seni bernilai tinggi menjadi rebutan pembida pada majlis lelongan seni anjuran HBAA hari ini.

Lelongan bermula jam 1 tengah hari itu menampilkan karya Datuk Syed Ahmad Jamal bagi lukisan Ruang Biru; Rimba Series karya Abdul Latif Mohidin; Chang Fee Ming (Chord of Friendship) dan Awang Damit Ahmad (Tenaga Hidup).

Disiarkan pada: March 15, 2020 @ 5:42pm
d