mutakhir

Industri pelancongan disaran buat promosi atas talian

Oleh BERNAMA

PEMAIN industri pelancongan diminta mengubah kaedah promosi sektor itu kepada pendekatan secara atas talian bagi mengurangkan kontak fizikal ketika penularan virus Covid-19.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC), Datuk Dr Noor Zari Hamat berkata, arahan itu dikeluarkan selepas perbincangan dengan semua pemegang taruh industri baru-baru ini.

“Ini tindakan paling wajar untuk situasi Covid-19 ketika ini, ” katanya ketika ditemui pada hari terakhir Program Semarak Muzium @ Muzium Seni Kraf Orang Asli (MSKOA) 2020, di Kuala Lumpur, hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, anggaran kerugian keseluruhan sektor pelancongan dalam dua bulan pertama tahun ini adalah sebanyak RM3.37 bilion akibat penularan Covid-19.

Sementara itu, Noor Zari berkata, MOTAC menyediakan rebat penggunaan elektrik sebanyak 15 peratus kepada pihak perhotelan bagi membantu memulihkan perniagaan mereka yang terjejas akibat Covid-19.

“Kita ambil maklum bahawa antara kos pengoperasian yang paling besar ditanggung (pihak perhotelan) ialah penggunaan elektrik, ini antara (bantuan) yang kita nyatakan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi 2020,” katanya. – Bernama

Disiarkan pada: March 15, 2020 @ 8:52pm
d