mutakhir

Pendaki patah kaki, jatuh di Gunung Tahan

Oleh Asrol Awang

PENDAKI lelaki patah kaki kanan selepas terjatuh dekat Kem Kubang di Gunung Tahan, semalam.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Nor berkata, mangsa dikenali Mohd Azam, 59, dari Bandar Baru Bangi, Selangor mengalami kecederaan itu ketika menuruni gunung, kira-kira 5 petang.

Katanya, Balai Polis Merapoh menerima panggilan kejadian daripada Balai Bomba dan Penyelamat Lipis pada 7.45 malam.

“Mangsa bersama sembilan pendaki termasuk dua wanita mendaki Gunung Tahan dipandu seorang malim gunung pada 10 Mac lalu.

“Ketika kejadian, kumpulan itu menghala turun dan berada 19 kilometer dari pintu masuk,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azli berkata, operasi menyelamat digerakkan membabitkan 13 anggota polis, bomba dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Katanya, seramai 12 malim gunung turut serta memberi bantuan awal kepada mangsa sejak 9.45 malam.

“Mangsa akan dibawa keluar dengan helikopter milik Jabatan Bomba dan Penyelamat, hari ini,” katanya.

Disiarkan pada: March 16, 2020 @ 10:38am
d