mutakhir

Rayuan mudir Masjid Seri Petaling

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

PENGURUSAN Masjid Seri Petaling, Kuala Lumpur merayu peserta perhimpunan Jord Qudama dan Ulama di masjid berkenaan supaya membuat pemeriksaan kesihatan susulan penularan Covid-19.

Mudir masjid, Maulana Mansur Ismail menerusi video yang dimuat naik di Facebook rasmi Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba mengingatkan peserta supaya mematuhi arahan pihak berkuasa.

Menurutnya, pihak berkuasa krisis nasional terdiri daripada pelbagai jabatan sedang berusaha tanpa mengenal penat dan lelah dalam menangani wabak berkenaan.

“Mereka mengingatkan kita berulang kali untuk mengambil langkah sewajarnya dalam mencegah penularan wabak itu.

“Kami menekankan sekali lagi kepada 28 markas seluruh negara mematuhi dan mengambil tanggungjawab penuh bekerjasama dengan pihak berkuasa supaya kerisauan, ketegangan dan tanggapan salah jika ada daripada masyarakat umum mahupun pihak berkuasa dapat diredakan,” katanya.

Selain itu, Mansur berkata, tiada jemaah luar dibenarkan datang dan jemaah di masjid juga tidak dibenarkan keluar sehingga keputusan mesyuarat selanjutnya diperoleh.

Beliau berharap keputusan itu dapat ditaati dan dilaksanakan oleh semua pihak.

“Ingatlah bahawa semua ini ujian Allah SWT. Kita ambil peluang ini untuk menghidupkan amalan di rumah dengan banyakkan berdoa, beristighfar dan menangis kepada Allah SWT serta tingkatkan fikir risaukan umat dalam diri kita.

“Semoga Allah memberkati usaha kita yang sedikit ini dan menjadikan pengorbanan semua sebagai asbab hidayah seluruh alam sehingga kiamat,” katanya.

Disiarkan pada: March 16, 2020 @ 11:37am
d