mutakhir

Gotong-royong baiki jambatan gantung

Oleh Ramli Ibrahim

DEMI keselamatan anak mereka, penduduk Kampung Batu Papan, Gua Musang bergotong-royong membaiki jambatan gantung yang sudah uzur di situ.

Jambatan berkenaan yang merentasi Sungai Galas kerap digunakan penduduk terutama kanak-kanak dan remaja untuk ke sekolah.

Seorang penduduk, Ahmad Harun, 59, berkata, jambatan itu rosak sejak dua tahun lalu kerana kerap tenggelam setiap kali hujan lebat.

“Bagaimanapun ia tetap menjadi laluan anak kami ke sekolah. Mereka mengayuh basikal melalui jambatan ini yang tiada penghadang.

“Disebabkan itu, bimbang dengan keselamatan mereka, maka kami nekad membaikinya sendiri,” katanya.

Mohamad Alias, 42, pula berkata, terdapat jambatan konkrit yang menjadi laluan utama penduduk berhampiran Bandar Baharu Gua Musang.

Namun katanya, jaraknya yang jauh menyebabkan pelajar sekolah memilih menggunakan jambatan gantung itu.

“Jambatan ini lebih dekat untuk ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Indera Petra 2.

“Mujur penduduk mahu bergotong-royong membaikinya supaya lebih selamat dilalui,” katanya.

Menurutnya, jambatan gantung itu adalah yang kedua dibina selepas jambatan gantung pertama runtuh dalam bencana banjir pada Disember 2014.

Disiarkan pada: March 16, 2020 @ 11:48am
d