mutakhir

Budak cedera dirotan bapa angkat

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

KERANA nakal dan didakwa degil, kanak-kanak lelaki berusia enam tahun dirotan bapa angkatnya sehingga cedera di seluruh badan.

Mangsa kini dirawat di Hospital Selayang.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, kejadian dipercayai berlaku di rumah didiami mangsa bersama bapa angkatnya di sebuah apartmen di Kepong.

“Pada Sabtu lalu polis menerima panggilan daripada jiran mangsa mendakwa seorang lelaki mendera kanak-kanak.

“Susulan itu polis ke lokasi kejadian dan menahan seorang lelaki berusia 36 tahun bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, hari ini.

Arifai berkata, kanak-kanak berkenaan yang dihantar ke hospital untuk rawatan dilapor stabil.

“Siasatan awal mendapati punca kanak-kanak berkenaan dirotan kerana degil dan nakal. Namun siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar,” katanya.

Menurutnya, keluarga kandung mangsa meletakkan mangsa di bawah jagaan lelaki berkenaan.

Susulan kejadian, lelaki itu direman sehingga Khamis untuk siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Disiarkan pada: March 16, 2020 @ 2:23pm
d