mutakhir

Sultan Johor ucap takziah

Oleh BERNAMA

SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa kebakaran di Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC), Kota Tinggi, malam tadi, yang meragut lima nyawa.

“Saya amat sedih dengan kejadian yang berlaku. Semoga Allah beri kekuatan dan ketabahan hati kepada keluarga mangsa,” titah baginda kepada Royal Press Office di sini.

Titah baginda itu dimuat naik dalam Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, sebentar tadi.

Sultan Ibrahim bertitah supaya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengambil tindakan segera bagi mengenal pasti punca kebakaran.

“Pada masa sama, saya mahu langkah-langkah keselamatan di tempat kerja sentiasa diutamakan bagi mengelakkan sebarang kemalangan.

“Saya juga amat berharap keluarga mangsa yang terbabit dalam kejadian kebakaran itu diberikan perhatian dan bantuan oleh majikan,” titah Sultan Ibrahim.

Pada kejadian kira-kira 10.50 malam tadi, loji milik Pengerang Refining and Petrochemical (PRefChem) di PIC disahkan terbakar dan berlaku letupan.

JBPM, dalam satu kenyataan berasingan, mengesahkan terdapat tujuh mangsa.

Lima ditemui rentung, seorang berjaya diselamatkan manakala seorang lagi terbakar 70 peratus.

Berita berkaitan

  • Letupan di Kompleks Bersepadu Pengerang: 4 rentung, 1 parah
  • Identiti 4 mangsa rentung dikenal pasti
  • Disiarkan pada: March 16, 2020 @ 3:17pm
    d