mutakhir

Tubuh jawatankuasa jelas ASWJ - Jais

Oleh Yusmizal Dolah Aling

SATU jawatankuasa khas mengenai Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) akan ditubuhkan di Selangor dalam usaha memberi kefahaman menyeluruh kepada masyarakat khususnya umat Islam selain membolehkan semua pihak tahu perkara asas dalam agama.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Mohd Shahzihan Ahmad berkata, pihaknya sudah pun meminta Bahagian Penyelidikan untuk menyediakan modul bersesuaian dan jawatankuasa itu akan mengadakan pelbagai program membabitkan orang ramai di negeri itu.

Menurutnya, menerusinya, isu mengenai ASWJ bukan lagi eksklusif kepada ahli agama saja tetapi terbuka kepada masyarakat untuk turut mengambil bahagian dengan bantuan tenaga pengajar serta pakar dalam bidang itu.

“Kita ada ramai pakar, ustaz dan guru yang bagus. Mungkin mereka ini boleh mengajar pegawai Jais juga kerana kita mempunyai jumlah yang terhad.

“Kita akan bincang bagaimana untuk jadikan modul yang boleh di masjid dan surau di Selangor. Kita kena sedar mengenai ancaman berterusan doktrin palsu yang menjadi kebimbangan kepada orang Islam,” katanya kepada Harian Metro.

Sementara itu, beliau berkata, Jais juga memperkenalkan gagasan Islamik, Penyelamat dan Kepatuhan (ISO) untuk dilaksanakan dalam tempoh lima tahun bagi memperkasa rakyat khususnya umat Islam untuk membudayakan ilmu serta menjadi negeri yang berkualiti.

Menurutnya, budaya kerja, urus tadbir serta memiliki kakitangan yang mempunyai kakitangan yang berilmu pengetahuan serta tinggi akhlak dan moral menjadi pengisian jabatan untuk memberikan contoh terbaik kepada semua termasuk bukan Islam.

Menurutnya, gagasan itu diperkenalkan sejak mula dilantik menerajui jabatan itu pada September tahun lalu dan berhasrat untuk menjadikannya sebagai titik perubahan bagi menjelaskan Islam secara menyeluruh serta menjawab persepsi buruk mengenai agama.

Katanya, sebagai institusi menjaga agama, Jais perlu memberi impak kepada Islam di Malaysia dengan merubah pendekatan untuk memantapkan pentadbiran, akhlak, pola fikir yang boleh diteladani orang Islam dan bukan Islam.

“Untuk itu kita akan lakukan perubahan dalam kalangan kakitangan sendiri, masjid serta institusi keluarga untuk menonjolkan imej Islam yang baik dan boleh diterima semua.

“Jadi kita perlu lengkapkan diri dengan ilmu serta perwatakan Islam sebenar. Pegawai Jais perlu jadi teladan kepada masyarakat. Masjid yang dikendalikan sepenuhnya oleh Jais untuk membudayakan ilmu, kemasyarakatan dan tanggungjawab sosial korporat. Masjid adalah instrumen hebat yang digunakan pada zaman nabi yang akhirnya menjadikan Islam begitu kuat di dunia.

“Selain itu menerusi beberapa pendekatan, kita akan mantapkan institusi keluarga, ibu dan bapa akan diperkasakan sebagai ketua keluarga seperti mana di dalam ajaran Islam, Insya-Allah, kita akan selamat dunia dan akhirat,” katanya.

Disiarkan pada: March 16, 2020 @ 3:31pm
d