mutakhir

Penunggang mabuk maut

Oleh Norsyazwani Nasri

GARA-GARA menunggang motosikal dalam keadaan mabuk, seorang lelaki maut selepas terbabit dalam kemalangan kendiri di Jalan Lanang di sini, awal pagi ini.

Dalam kejadian jam 3.05 pagi itu, lelaki berusia 23 tahun dari Sungai Ibau, Kapit itu maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit berkata, ketika kejadian mangsa menunggang motosikal bersendirian dalam perjalanan dari Lanang menghala ke arah pusat bandar Sibu.

“Mangsa dipercayai gagal mengawal motosikal yang ditunggangnya sebelum terbabas.

“Mangsa menunggang dalam keadaan mabuk berdasarkan bau minuman keras yang agak kuat di badannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, mayat dibawa ke Hospital Sibu untuk tindakan lanjut dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: March 16, 2020 @ 5:56pm
d