mutakhir

Pembelian panik kononnya diarah berkurung [METROTV]

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

TINDAKAN penyebaran kenyataan palsu di media sosial, hari ini, yang mendakwa kerajaan mengenakan perintah berkurung ekoran penularan Covid-19 menyebabkan segelintir penduduk di beberapa lokasi di daerah ini membuat pembelian panik bagi mendapatkan bekalan keperluan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, terdapat pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan palsu mengenai tindakan kerajaan mengarahkan perintah berkurung.

“Berita palsu ini tular menerusi media sosial sebelum dikongsi antara satu sama lain.

“Tindakan itu menyebabkan segelintir penduduk di beberapa lokasi di daerah ini menjadi panik dan membuat pembelian barang keperluan dalam jumlah banyak sebagai persiapan awal.

“Berdasarkan maklumat dan pemerhatian dilakukan, orang ramai mula menyerbu premis perniagaan untuk mendapatkan bekalan keperluan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau menegaskan bahawa setakat ini tiada sebarang arahan perintah berkurung berikutan wabak Covid-19 diisytiharkan oleh kerajaan.

“Oleh itu, orang ramai diminta untuk sentiasa membuat semakan dari semasa ke semasa menerusi agensi bertanggungjawab seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Selain itu, orang ramai juga boleh menghubungi balai polis berhampiran untuk mendapatkan pengesahan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 16, 2020 @ 6:47pm
    d