mutakhir

Amuk cuba serang ahli keluarga sendiri

Oleh Juwan Riduan

SEORANG lelaki ditahan kerana mengamuk dan cuba menyerang adik beradiknya dengan pisau pemotong sayur di hadapan sebuah restoran di Jalan Bandar Labuan, semalam.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, ketika kejadian beberapa anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan sedang menjalankan rondaan.

“Ketika melalui lokasi kejadian, anggota terbabit ternampak seorang lelaki berlari sambil membawa sebilah pisau pemotong sayur dan berjaya menahannya.

“Namun berlaku sedikit pergelutan dengan lelaki itu ketika proses tangkapan sebelum berjaya merampas pisau yang dipegangnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Muhamad berkata, hasil siasatan mendapati suspek berusia 28 tahun itu dipercayai mengamuk selepas berselisih faham dengan adik beradiknya.

“Suspek dikatakan mengambil sebilah pemotong sayur di dapur restoran berkenaan sebelum mengamuk.

“Ujian saringan air kencing turut mendapati suspek positif dadah dan dia direman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 6 Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958,” katanya.

Disiarkan pada: March 16, 2020 @ 7:28pm
d