mutakhir

Kempunan kereta baru

Oleh Rosli Ilham

HASRAT seorang wanita memiliki kereta baru tidak kesampaian selepas wang pendahuluan berjumlah RM20,000 dilarikan penjenayah, hari ini.

Sebelum itu, mangsa berusia 36, dikatakan bersama anak lelakinya berusia empat tahun mengambil wang terbabit dari sebuah bank di Jalan Baru Pak Sabah, pada 12 tengahari.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, mangsa meletakkan kereta miliknya pada jarak 100 meter dari bank terbabit.

Menurutnya, sebaik mangsa dan anaknya masuk ke dalam kereta, dia meletakkan beg sandang yang mengandungi wang tunai itu dan di tempat duduk sebelah pemandu.

“Sebaik menutup pintu kereta, seorang lelaki tiba-tiba membuka pintu sebelah pemandu dan mengambil beg terbabit.

“Mangsa dikatakan cuba menarik begnya itu namun gagal sebelum suspek berjaya mengambil beg terbabit dan melarikan diri dengan sebuah motosikal yang ditunggang seorang rakannya yang menunggu di situ, “katanya.

Baharudin berkata, selain wang tunai RM20,000, beg sandang itu turut mengandungi telefon bimbit mangsa bernilai RM1,300, wang tunai RM40, lesen memandu dan beberapa dokumen penting.

“Polis percaya, suspek mengekori mangsa hingga ke tempat pakir kereta terbabit sebelum bertindak melarikan beg mangsa.

“Mangsa datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun pada 2.51 petang untuk membuat laporan,” katanya.

Menurutnya, gerakan memburu suspek sedang giat dilakukan dan kes terbabit akan disiasat mengikut seksyen 379 Kanun Keseksaan.

“Kita minta kepada orang ramai yang ingin mengeluarkan wang yang banyak supaya membawa pengiring bagi mengelak kejadian sama berulang,” katanya.

Disiarkan pada: March 16, 2020 @ 8:45pm
d