mutakhir

'Tikus' ditangkap

Oleh Melvin Joni

SEORANG daripada tiga beradik yang disyaki terbabit dalam kes tembak di hadapan sebuah kedai makan di Paradom di sini, semalam ditahan petang tadi.

Suspek berusia 47 tahun yang dikenali dengan nama ‘Tikus’ itu ditahan pada jam 2 petang di sebuah jeti feri di Sungai Paradom.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit berkata, suspek adalah individu yang mengganggu mangsa sebelum di tembak dan cedera dalam kejadian itu.

“Dua lagi suspek yang juga adik kepada suspek pertama yang berusia 46 dan 43 tahun masih dalam buruan dan meminta orang ramai menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan.

“Mereka sangat berbahaya kerana salah seorang daripada suspek memiliki senapang patah,” katanya dalam sidang media di Balai Polis Sentral di sini, hari ini.

Menurut Stanley, siasatan mendapati tiga beradik itu mempunyai rekod jenayah lampau.

Kejadian kira-kira jam 5 petang itu berpunca daripada tindakan salah seorang suspek yang mengganggu mangsa sehingga berlaku pergaduhan.

Ketika itu mangsa yang juga seorang penyelia projek Lebuhraya Pan Borneo berusia 28 tahun sedang memancing bersama rakannya.

“Mangsa yang marah bertindak memukul suspek dengan kayu dan tiga beradik itu kembali dan melepaskan tembakan ke arah mangsa menggunakan senapang patah,” katanya.

Stanley berkata, permohonan reman ke atas suspek akan dipohon esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Sementara itu, beliau berkata mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian muka, kepala serta dan badan kini dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan malam tadi.

Disiarkan pada: March 16, 2020 @ 9:08pm
d